CLICK HERE FOR FREE BLOG LAYOUTS, LINK BUTTONS AND MORE! »

Saturday, September 24, 2011

Kelebihan Ramadhan

Sebagaimana yang kita tahu bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan berbanding bulan-bulan lain.. Al-Quran ada menyentuh tentang perkara ini. Antaranya ialah tentang kelebihan malam lailatul qadar yang lebih baik daripada seribu bulan. Selain itu banyak hadis nabi yang turut menyatakan tentang kelebihan bulan Ramadhan ini terutamanya dari segi pahala amal ibadat yang dilipatgandakan oleh Allah s.w.t. 
Dengan lain perkataan, pada bulan Ramadhan Allah s.w.t menawarkan pelbagai insentif untuk direbut oleh umat Islam menerusi amal ibadat yang mereka lakukan.
Menyentuh tentang perkara amal ibadat, berbanding dengan bulan-bulan yang lain, pada bulan Ramadhan ini, memang ramai di antara umat Islam yang meningkatkan kegiatan berbentuk kerohanian mereka. Jelasnya, pada bulan Ramadhan kalau dilihat dari sudut pandang produktiviti, kebanyakan daripada kita mencatatkan peningkatan yang ketara dari segi amal ibadat yang dilakukan. 
Apa yang menimbulkan kehairanan di sini ialah dalam pada kita berusaha menghidupkan malam Ramadhan dengan amalan-amalan solat tarawih, qiamullail, tadarus dan sebagainya (kerana mengejar pahala dan fadilat Ramadhan); kebanyakan kita menjadikan alasan berpuasa untuk mengurangkan kegiatan-kegiatan kerja harian pada siang harinya.
Bila kita berpuasa, perkara asas yang sering kita lakukan iaitu makan dan minum kita terpaksa tinggalkan. Memang tidak dinafikan bahawa keadaan ini akan menyebabkan kita cepat letih sekiranya kita menggunakan tenaga secara berlebihan.
Namun ia sebenarnya bukanlah suatu alasan alasan untuk kita bermalas-malasan atau menjadi tidak giat dalam urusan kerja harian. 
Jika kita menelusuri sejarah tamaddun Islam, dalam bulan Ramadhanlah banyak peristiwa penting yang berlaku yang semuanya menuntut kekuatan jasmani kaum muslimin terdahulu walaupun pada ketika itu mereka sedang menjalani ibadat puasa. Akan tetapi suasana yang sebaliknya berlaku kepada umat Islam sekarang.
Mungkin kita perlu ambil iktibar daripada umat Islam terdahulu dari sudut bagaimana mereka mengharungi Ramadhan tanpa perlu menggunakan alasan berpuasa untuk lari daripada melaksanakan tanggungjawab mempertahankan dan meninggikan syiar Islam.
Malah pada bulan Ramadhanlah mereka mengambil kesempatan untuk mengatur strategi dan mengambil perbagai usaha yang memerlukan mereka bermandi keringat yang akhirnya membolehkan kita pada hari ini merasai nikmat iman dan Islam.
Peristiwa Perang Badar, pembukaan Kota Mekah, pembukaan Andalus oleh Tariq bin Ziyad, pengusiran keluar tentera salib daripada bumi Palestin oleh Salahuddin al-Ayyubi, kejayaan tentera kerajaan Mamluk menghentikan penguasaan Mongol ke atas empayar Islami, kejayaan tentera kerajaan Utmaniah menghalang kemaraan tentera Russia dan kejayaan mendapatkan kembali Semenanjung Sinai menerusi kemenangan tentera Mesir dalam Perang Arab Israel merupakan antara contoh-contoh penting tentang keazaman dan kejayaan umat Islam dahulu dalam perjuangan mereka menegakkan kebenaran yang semuanya berlaku pada bulan Ramadhan.
Apa yang lebih mengkagumkan kita, ia melibatkan bilangan yang sedikit di pihak yang benar yang sedang melakukan ibadah puasa mengatasi bilangan yang besar di pihak yang batil. Sebagai contoh, dalam Perang Badar dengan hanya kekuatan 313 tentera, pejuang Muslimin berjaya menewaskan tentera musyrikin yang lengkap bersenjata yang seramai 1000. Begitu juga dengan angkatan perang yang dipimpin oleh Tariq bin Ziyad. Dengan kekuatan 12000 orang tentera, beliau berjaya menewaskan 90000 tentera Kristian pimpinan Roderick. Ekoran daripada itu, agama Islam dan peradabannya berkembang makmur untuk selama 700 tahun di bumi Andalus. 
Jadi apa yang dapat dirumuskan menerusi peristiwa-peristiwa penting yang dinyatakan di atas, berbanding dengan kita sekarang ini umat Islam dahulu memahami dengan mendalam falsafah Ramadhan. Mereka memahami bahawa Ramadhan merupakan bulan untuk mendidik mereka tentang erti pengorbanan yang sebenar.
Bagi mereka, Ramadhan bukan sahaja menuntut pengorbanan nafsu seseorang (nafsu makan, minum, tidur, kelamin dan lain-lain); namun ia juga menuntut pengorbanan jiwa raga untuk meninggikan syiar Islam. Maka tidak hairanlah pada zaman awal hinggalah ke zaman kegemilangan tamadun Islam, bulan Ramadhan dipenuhi dengan pelbagai peristiwa penting yang menjadi bukti kukuh tentang pengorbanan umat Islam terdahulu dalam perjuangan mereka untuk menegakkan kalimah Allah.
Kebanyakan daripada kita pada hari ini tidak menghayati semangat yang dibawa oleh Ramadhan. Bagi mereka, Ramadhan bermaksud bulan menahan lapar dan dahaga serta bulan untuk mengurangkan kegiatan-kegiatan yang mereka rujuk sebagai “duniawi”. Urusan kerja dan urusan harian pada siang hari dikurangkan. Kononnya ia adalah urusan dunia. Malah tidur pada siang hari lebih diutamakan kerana bagi mereka ia adalah ibadat.
Ini adalah satu fahaman yang tidak tepat. Urusan duniawi seperti kerja-kerja harian yang selaras dengan kehendak Shariah serta kegiatan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi baik di bidang perkhidmatan, perniagaan dan lain-laian sebenarnya adalah suatu bentuk ibadat. Selain itu ia juga merupakan satu bentuk jihad kerana ia berperanan untuk menggiatkan pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan suatu persekitaran kehidupan yang selesa untuk ahli masyarakat.
Sepatutnya pada bulan Ramadhan kegiatan-kegiatan ini dapat ditingkatkan kerana tumpuan kita semasa bekerja untuk makan dan minum sudah berkurangan. Dengan kata lain, bila tumpuan kita untuk makan dan minum tiada, kesempatan ini sepatutnya digunakan untuk kita meningkatkan lagi usaha kerja harian.
Secara ringkasnya, pada bulan Ramadhan kita tidak seharusnya berusaha meningkatkan kegiatan amalan-amalan kerohanian semata-mata demi mengejar pahala yang berlipatganda yang dijanjikan Allah s.w.t.
Di dalam surah al-Nahl Allah s.w.t ada menyatakan bahawa sesiapa yang mengerjakan amal soleh, Dia akan memberi balasan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka usahakan. Amal soleh atau ibadat dalam agama Islam tidak terhad untuk solat, puasa, zakat atau haji. Ia merangkumi pelbagai kegiatan yang selaras dengan kehendak Shariah yang dilakukan oleh manusia. Ini termasuklah juga urusan harian dan segala kegiatan ekonomi untuk memenuhi keperluan kehidupan. 
NOORAZLEEN

0 comments:

Post a Comment