CLICK HERE FOR FREE BLOG LAYOUTS, LINK BUTTONS AND MORE! »

Saturday, September 24, 2011

PENYALAHGUNAAN DADAH


Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.
Ahli jumaat yang berbahagia,
Allah Subhanahu Wataala mengharamkan sesuatu itu setentunya mempunyai hikmah yang kadangkala di luar pengetahuan dan tidak dapat dicapai oleh pemikiran kita misalnya pengharaman minuman arak, rasuah, berjudi dan termasuklah juga penyalahgunaan dadah yang bukan saja membahayakan manusia bahkan juga negara dan dunia.
Dadah walaupun merupakan salah satu bahan yang digunakan dalam bidang perubatan, tetapi penggunaannya tidaklah secara bebas dan sesuka hati tanpa kawalan dan tanpa nasihat pakar perubatan. Penggunaannya hendaklah mengikut peraturan dan sukatan bagi pesakit yang memerlukannya sahaja, kerana jika disalahgunakan, ianya akan membawa kemusnahan dan penderitaan kepada manusia.
Perkara ini boleh dibuktikan bila ditanya dan diselidiki kepada bekas penagih yang telah insaf dan sedar serta menyesali perbuatan mereka, mereka akan menyatakan bahawa perbuatan itu hanyalah sia-sia dan tiada menguntungkan, sebaliknya merugikan dan mendatangkan kesusahan dan penderitaan hidup yang akhirnya kalau tidak bernasib baik boleh membawa maut.
Oleh itu jika kita mahu hidup senang, bahagia dan gembira, jauhilah dan hindarkan diri daripada dadah dan jangan cuba mendekatinya, jangan mudah dipengaruhi oleh pujukan yang ingin merosakkan diri kita, kerana merasa sekali mahu dua kali dan seterusnya sehingga ketagih dan tidak berupaya meninggalkannya dan sanggup hidup tidak bermaruah.
Wahai kaum muslimin,
Para ulama telah bersetuju bahawa dadah itu termasuk di dalam pengertian arak, kerana arak boleh mengganggu dan menghilangkan fikiran, akan tetapi kesan dadah adalah lebih buruk lagi daripada arak kerana itulah Allah Subhanahu Wataala memerintahkan supaya ianya dijauhi oleh setiap muslim dan muslimah, firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Maa-idah, ayat 90 – 91:-
Tafsirnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semuanya kotor keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang, oleh itu mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil.
Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam:-
Maksudnya:
Daripada Ibnu Umar Radiallahu-Anhuma, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Semua yang memabukkan itu adalah termasuk dalam erti kata arak dan semua yang memabukkan itu adalah haram. 
(Riwayat Al-Imam Muslim)
Wahai kaum muslimin,
Penyalahgunaan dadah boleh menyebabkan lupa diri, lupa agama dan lupa dunia kerana ianya memberi kesan buruk kepada akal, melemahkan tenaga berfikir dan kecerdasan, mengakibatkan penyakit urat saraf serta boleh mengganggu kesihatan mental, fizikal dan semangat jiwa.
Bagi penagih yang sudah berkeluarga, dadah boleh meruntuhkan kebahagian rumahtangga, boleh menyebabkan berlakunya perceraian dan memporak-perandakan kebahagian keluarga. Rumahtangga yang sempurna dan bahagia akan musnah di mana anak-anak yang dikasihi akan turut menderita. Mereka akan disingkirkan dan disisihkan oleh keluarga dan orang yang disayangi.
Dadah juga boleh menghabiskan wang dan harta kerana kehilangan kerja dan tidak berpeluang dalam pelajaran dan pekerjaan yang akhirnya sanggup melakukan apa sahaja hatta membunuh.
Bila melihat betapa besarnya bahaya dadah itu sehingga boleh menggelapkan hidup seseorang, maka penyakit seumpama ini tidak boleh dibiarkan dan perlu kepada penyelesaian dan dicari punca penyebabnya bagi langkah-langkah pembasmian. Tetapi adakah tugas ini mampu dijalankan oleh satu pihak sahaja?  Setentunya tidak, kerana ianya memerlukan kerjasama semua pihak bagi menanganinya.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Jika kita selidiki, di antara sebab-sebab yang boleh mendorong kepada penyalahgunaan dadah itu ialah kurangnya penghayatan ajaran agama Islam dan tunduk mengikut hawa nafsu serta sifat ingin untuk mencuba walaupun ia telah mengetahui akibat buruk dari penyalahgunaan dadah itu. Ditambah pula dengan sikap tiada pendirian, mudah dipengaruhi oleh kawan-kawan, ingin untuk mencari keseronokan dan menganggap dadah boleh menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi.
Sesungguhnya penyalahgunaan dadah itu tidak lain hanya membawa kepada kesengsaraan dan kebinasaan. Dan bagi penagih yang telah insaf dan telah berjaya mengikuti rawatan dan pemulihan, maka hendaklah berusaha untuk menjauhinya dan bertekad untuk melupakannya dan tidak mendekatinya lagi.  Tetapi apa yang mendukacitakan masih terdapat sebilangan mereka yang mengulangi perbuatan penyalahgunaan dadah itu.
Di antara punca yang menyebabkan berlakunya perkara sedemikian ialah penyisihan keluarga dan masyarakat terhadap mereka.
Maka disinilah peranan ibubapa amat penting dalam mengubah hala tuju bekas penagih. Ini boleh dilakukan dengan jalan seperti:-
Pertama: Memberikan kasih sayang tanpa menyisihkan mereka agar mereka merasa dihargai, dan tidak di anak tirikan.
Kedua: Memberikan bimbingan yang baik, iaitu mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah Subhanahu Wataala.
Ketiga: Memberikan sokongan yang padu dalam membina kehidupan baru yang baik dan sempurna.
Di samping itu, sifat sabar, tabah, tidak putus asa dan bertawakal adalah amat penting kepada keluarga mahu pun kepada yang dibimbing.  Dan sentiasalah berdoa memohon petunjuk dan hidayah dan meningkatkan lagi amal ibadat kepada Allah Subhanahu Wataala, mudah-mudahan dengan demikian mereka akan beroleh ketenangan hati dan jiwa, serta sentiasa terpimpin ke jalan yang diredhai Allah Subhanahu Wataala.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Memandangkan dadah adalah punca penyakit sosial dan masyarakat, menjadi penghalang kepada kemajuan dan pembangunan negara, maka marilah kita meningkatkan kesedaran dan kefahaman kita terhadap bahaya penyalahgunaan dadah, dan berusaha mengawal dan mencegah berlakunya kegiatan buruk ini, mudah-mudahan Allah Subhanahu Wataala melindungi anak-anak kita, keluarga kita, saudara mara kita, negara dan agama kita.  Amin Ya Rabbal-'Aalamin.

  http://www.masjid.gov.bn/teks_khutbah/1425/Jamadilakhir/12.htm
NOORAZLEEN

0 comments:

Post a Comment