CLICK HERE FOR FREE BLOG LAYOUTS, LINK BUTTONS AND MORE! »

Wednesday, September 28, 2011

Tunku Abdul Rahman Putra - Negarawan Ulung


Ibarat kata pepatah Melayu ”Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. Begitulah ungkapan yang paling bererti untuk mengenang jasa dan sumbangan negarawan ulung Tunku Abdul Rahman Putra. Pada tarikh 6 Disember 2009 genaplah 19 tahun Tunku pulang ke rahmatullah. Namun, ingatan terhadap beliau tidak pernah luput malah sentiasa segar dalam kotak fikiran rakyat Malaysia.
Sepanjang hayatnya, Tunku telah menunjukkan kehebatan sebagai pemimpin yang berwibawa dalam pelbagai bidang. Ketokohannya juga diakui oleh Tun Abdul Razak dalam ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Tunku di Dewan Rakyat pada Februari 1971. Beliau menyatakan bahawa Tunku telah muncul pada saat yang penting dalam sejarah perjuangan bangsa kita. Ini jelas terbukti warisan yang ditinggalkan Tunku dalam catatan sejarah negara.
Jika diselusuri sejarah perkembangan negara, Tunku adalah seorang pejuang yang berjiwa kental dan mempunyai semangat jati diri yang tinggi untuk membebaskan negara dari cengkaman penjajah. Penglibatan menentang Malayan Union, mengemudi kepimpinan UMNO melalui perubahan slogan dari Hidup Melayu kepada Merdeka, mengatur strategi pakatan antara kaum dengan kerjasama pihak Majlis Raja-Raja Melayu telah membuktikan kepimpinan Tunku sehingga berjaya mencapai kemerdekaan secara aman melalui meja rundingan. Liku, cabaran, perit jerih terbayar dek nikmat kemerdekaan yang diwarisi sehingga kini dan kita sebagai rakyat Malaysia perlu merasa terhutang budi kepada Tunku - Bapa Kemerdekaan.
Setelah merdeka, Tunku yang mengetuai Kabinet telah membentuk strategi pembangunan jangka panjang dengan melaksanakan rancangan pembangunan negara bagi tempoh setiap lima tahun bermula dengan Rancangan Malaya Pertama pada tahun 1956 – 1960. Rancangan pada peringkat awal lebih menjurus kepada pemulihan dan pembangunan untuk membina kemajuan negara. Rancangan pembangunan ini meliputi semua lapisan masyarakat berbilang kaum di bandar dan juga luar bandar.
Dalam aspek perpaduan, Tunku selaku pemimpin yang mewakili kepentingan orang Melayu, tidak sesekali mengenepikan kaum lain. Jelas perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini didasari oleh Perlembangan Tanah Melayu dan ia harus difahami oleh semua rakyat Malaysia. Sifat saling faham memahami amat penting dan ditekankan oleh Tunku agar rakyat dapat hidup dalam suasana muhibah dan harmoni.
Tunku juga dikatakan sebagai A Man of Peace. Kehadiran Tunku ke Rundingan Baling 1955 dengan wakil-wakil Parti Komunis Malaya memperlihatkan sifatnya yang cintakan kedamaian dan perpaduan. Meskipun gagal, Tunku dilihat tokoh pencinta kedamaian.

by.adilamansor

0 comments:

Post a Comment