CLICK HERE FOR FREE BLOG LAYOUTS, LINK BUTTONS AND MORE! »

Wednesday, September 28, 2011

Kuala Lumpur Merakam Sejarah Dan Pembangunan Negara


Dari sebuah pekan kecil perlombongan bijih timah, Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia terus menempa nama dan dikenali di seluruh dunia. Perubahan demi perubahan mewarnai wajah Kuala Lumpur yang pesat membangun sebagai pusat pentabdiran dan perdagagan negara. Kemajuan yang dikecapi Kuala Lumpur telah meletakkan Malaysia gah di peta dunia dengan pelbagai kejayaan yang dicipta.
Jika dahulunya, persekitaran Kuala Lumpur dipenuhi dengan rumah-rumah atap nipah, kini ianya lebih diserikan dengan bangunan-bangunan pencakar langit serta perkembangan pesat penempatan penduduk. Dunia terus mengenali Kuala Lumpur melalui mercu tanda-mercu tanda hebat seperti Menara Berkembar Petronas 88 tingkat yang pernah mencatat sejarah sebagai bangunan tertinggi di dunia dan Menara Kuala Lumpur, menara komunikasi kebanggaan negara yang dilengkapi dengan teknologi terkini.

Keunggulan Kuala Lumpur sebagai pusat perdagangan telah mula berkembang sejak usaha perlombongan bijih pada tahun 1857. Rentetan dari itu, Kuala Lumpur telah membangun secara perlahan-lahan sehingga mencapai taraf yang ada sekarang ini dengan terbentuknya Wilayah Persekutuan. Kepesatan ekonomi Kuala Lumpur yang menjadi lubuk rezeki telah mengundang minat tidak hanya pelabur asing malah rakyat di negara ini. Jelas terbukti, penghijrahan penduduk yang menghuni bandar raya ini terus meningkat tahun demi tahun. 
Kedudukan ekonomi yang kukuh turut memberi impak besar kepada pembangunan di Kuala Lumpur. Menyentuh aspek infrastruktur jalanan, pasti mata terpukau melihat perkembangan lebuh raya-lebuh raya baru di sekitar ibu kota yang semestinya dilaksanakan demi kesejahteraan penghuninya. Tidak dapat disangkal lagi, kepadatan penduduk Kuala Lumpur telah mencorakkan pola penempatan yang lebih tersusun terutama bagi kawasan-kawasan setinggan yang telah digantikan dengan perumahan kos rendah yang lebih selesa seperti di Pantai Dalam.
Kepesatan ekonomi juga telah memberi kesan kepada aspek pengangkutan di Kuala Lumpur. Dari zaman lanca dan beca hinggalah kepada sistem aliran ringan (LRT), keretapi ekspres (KLIA Ekpres) dan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART), pelbagai kemudahan terus disediakan untuk kesenangan rakyat. Perkembangan positif ini telah memacu negara untuk menjadi salah satu kuasa ekonomi yang disegani di rantau ini.
Peredaran masa turut menyerlahkan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran. Bermulanya Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran apabila Sir Andrew Clarke, Gabenor Negeri-Negeri Selat telah melantik J.G. Davidson sebagai Residen British di Selangor pada Disember 1873. Beliau telah memindahkan ibu kota Selangor dari Kelang ke Kuala Lumpur pada tahun 1880 apabila Frederick Weld menjadi Gabenor Negeri-Negeri Selat yang baru. Bertitik tolak dari itu, Kuala Lumpur telah berkembang pesat dan telah dipilih sebagai Ibu Negeri Persekutuan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896 diikuti oleh pemerintahan Malayan Union dan sehinggalah negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Kuala Lumpur kekal sebagai ibu negara hingga ke hari ini.

by.adilamansor

0 comments:

Post a Comment