CLICK HERE FOR FREE BLOG LAYOUTS, LINK BUTTONS AND MORE! »

Wednesday, September 14, 2011

penubuhan Malaysia

Penubuhan Malaysia .


Tunku Abdul Rahman dalam satu ucapan beliau di depan Persatuan Wartawan Asing di sebuah hotel di Singapura pada 27 Mei 1961, menggagaskan penubuhan negara Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei Sarawak, dan Sabah. Antara lain, ia bertujuan untuk menyekat pengaruh komunis, mengimbangi jumlah penduduk, meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepat proses kemerdekaan terhadap Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah. Singapura menyambut baik idea tersebut manakala Brunei enggan menyertainya. Manakala Sarawak dan Sabah yang mulanya menolak cadangan tersebut akhirnya telah bersetuju apabila diberi jaminan mengenai pemerintahan sendiri.

Untuk memberikan kebebasan dan keadilan kepada semua pihak, pada 17 Januari 1962 sebuah suruhanjaya yang akan meninjau pandangan penduduk negeri-negeri tersebut telah diumumkan dan dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold. Suruhanjaya itu dianggotai oleh 5 orang ahli, dipengerusikan oleh Lord Cobbold dan dianggotai oleh dua wakil Kerajaan British, Sir Anthonv Abell dan Sir David Watherston, sementara wakil Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula terdiri dari Datuk Wong Pow Nee dan Encik Mohamed Ghazali Shafie. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.

Sepanjang Februari-April 1962, Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri daripada parti-pati politik, ahli-ahli mesyuarat kerajaan dan undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang memberikan pandangan. Secara keseluruhan, lebih lapan puluh peratus bersetuju dengan gagasan tersebut dan pada 21 Jun 1962, laporan tersebut telah diserahkan kepada kerajaan British.




Kata sepakat telah dicapai antara Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan tersebut berlangsung selama 2 minggu. Pada 9 Julai 1963, satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil Kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Kerajaan British telah diwakili oleh Perdana Menteri Encik Harold Macmillan, Encik Ducan Sandys dan Lord Landsdowne.


Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula telah diwakili oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Encik Tan Siew Sin, Datuk V.T. Sambanthan, Datuk Ong Yoke Lin dan Dr. Lim Swee Aun. Sabah pula telah diwakili oleh Datuk Mustapha bin Datuk Harun, Encik Donald A. Stephen, Encik W.K.H. Jones, Encik Khoo Siak Chiew, Encik W.S. Holley dan Encik G.D. Sundang. Wakil-wakil dari negeri Sarawak pula terdiri daripada Encik P.E.H. Pike, Temenggung Jugah, Datuk Bandar Abang Haji Mustapha, Encik Ling Beng Siew dan Datuk Abang Haji Openg. Sementara Singapura telah diwakili oleh Encik Lee Kuan Yew dan Encik Goh Keng Swee. Kedua-dua negara bersetuju mengeluarkan kenyataan bersama pada 12hb Julai 1963 iaitu Kerajaan British bersetuju menyerahkan kedaulatan Sabah, Sarawak dan Singapura kepada Kerajaan Malaysia dan Malaysia akan wujud pada 31hb Ogos, 1963.

Ketika ura-ura pembentukan Malaysia menjadi kenyataan, Filipina dan Indonesia menentang keras gagasan tersebut. Filipina mendakwa Sabah adalah sebahagian daripada wilayahnya manakala Indonesia yang mempunyai perancangan mewujudkan Indonesia Raya telah cuba menggagalkan usaha tersebut dengan lebih keras lagi dengan mengisytiharkan Konfrantasi pada 20 Januari 1963 dengan slogan ‘Ganyang Malaysia’. Tentera Indonesia dihantar menyusup sempadan Malaysia terutama di Sabah dan Sarawak serta Johor.

Cabaran getir yang dihadapi ini tidak mematahkan semangat pemimpin dan rakyat Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah untuk melihat satu negara bersatu. Walaupun perancangan sebenar pengisytiharan akan dibuat pada 31 Ogos 1963, majlis tersebut terpaksa ditangguhkan. Lawrance Michelmore selaku wakil Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi mengadakan tinjuan pandangan penduduk Borneo Utara dan Sarawak. Pada 14 September 1963, laporan telah dikeluarkan yang mengesahkan majoroti penduduk negeri tersebut menyokong penyertaaan dalam Persekutuan Tanah Melayu. Justeru, pada 16 September 1963, gagasan tersebut telah menjadi kenyataan dan lahirlah sebuah kesatuan yang dikenali sebagai Malaysia.

Pengisytiharan tersebut dibuat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Upacara membaca deklarasi penubuhan Malaysia itu telah dilakukan di hadapan Yang Di Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, dan Sabah. Turut serta dalam upacara itu ialah tiga orang pemimpin dari tiga buah negeri yang baru di dalam Persekutuan Malaysia iaitu En. Lee Kuan Yew, En. Donald Stephens dan En. Stephen Kalong Ningkan. Bagaimanapun, penyertaan Singapura hanya mampu bertahan selama dua tahun apabila terpaksa berpisah pada 1965.

posted by http://www.malaysiamerdeka.gov.my/v2/ms/sejarah/penubuhan-malaysia

posted by smksb 2k2 group 1(Kamilia)

0 comments:

Post a Comment